Category Archives: PEGAWAI PERUBATAN

NUUR JEHAN SYAHNAZ & MOHD IMRAN HAZIQ BERNIKAH

KENINGAU – 21 April 2024 (12 Syawwal 1445H – Ahad) – Dengan sekali lafaz, pasangan sedondon Mohd Imran Haziq bin Mohamad Radzi, 29, dan pasangannya Nuur Jehan Syehnaz bin Abdur Rashad, 28, sah menjadi suami isteri. Majlis akad nikah telah dilangsungkan di Kasturee Vanue, Kg Bayangan, Keningau sekitar jam 9.22 pagi tadi. Akad nikah telah disempurnakan oleh Jurunikah Imam Haji Hamzah bin Baba dan disaksikan oleh Hasipin bin Arinen dan Ahadin bin Arinen. Momen yang bersejarah itu dihadiri oleh keluarga kedua-dua pihak. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagian di dunia dan di akhirat.

HAJI ARININ IBON MENINGGAL DUNIA

KENINGAU – Haji Arinin @ Asoi bin Ibon, 74, disahkan meninggal dunia pada 3 Jun 2022 (Jumaat) bersamaan 3 Zulkaedah 1444H yang lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.30 petang di Hospital Daerah Keningau. Berita kematian almarhum disampaikan oleh anaknya, Hartono Asoi kepada ahli keluarga.

Jenazah almarhum dimandikan oleh anak-anaknya di Masjid Al Munawwarah, Kg Panagatan Ulu Keningau sekitar jam 8.00 pagi pada esoknya. Solat jenazah diimamkan oleh anaknya, Ahadin bin Arinen di masjid yang sama. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg Panagatan Ulu. Urusan pengkebumian selesai sekitar jam 12.00 tengahari.

Tahap kesihatan beliau sejak 5 tahun kebelakangan telah menurun ekoran kesakitan di bahagian punggung yang dialami. Namun kesakitan tersebut tidak menghalangnya untuk datang menunaikan solat di masjid.

Semasa hayatnya, beliau melazimkan diri untuk solat berjamaah di Masjid. Beliau adalah antara jamaah terawal tiba di masjid. Suara azan ala azan di Tanah Suci untuk solat subuh yang beliau kumandangkan akan dirindui. Membersihkan masjid dan sekitarnya termasuklah menyediakan sajadah pada hari jumaat sudah menjadi rutinnya.

HJ ADENAN BIN HJ MOHD YUSUF MENINGGAL DUNIA

PUTATAN – 3 Mei 2023 (Rabu) bersamaan 12 Syawwal 1444H. Ketentuan Allah telah tiba. Tepat jam 6.57 pagi, pada usia 85 tahun, Hj Adenan bin Hj Mohd Yusuf menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anaknya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Almarhum telah dimasukkan ke dalam Hospital Queen Elizabeth sejak 1 Mei 2023 yang lepas apabila keadaan kesihatannya semakin menurun.

Urusan pemandian jenazah disempurnakan di Masjid Negeri Sabah sekitar jam 9.45 pagi. Anak-anaknya, menantu dan ahli keluarga terdekat dengan bantuan petugas Masjid Negeri melaksanakan urusan pemandian tersebut.

Solat jenazah telah dilaksanakan sebanyak dua kali. Solat pertama dilaksanakan di masjid tersebut sekitar jam 10.45 pagi. Ianya dibuat awal memandangkan urusan pemandian telah disempurnakan lebih awal dan ramai ahli keluarga, teman-teman almarhum dan jemaah telah tiba. Ianya juga dilakukan atas cadangan ramai jamaah yang telah tiba sejak awal pagi. Dianggarkan lebih 100 jamaah yang melaksanakan solat tersebut.

Solat jenazah kedua pula dilaksanakan sebaik selesai solat zohor di masjid yang sama. Solat yang diimamkan oleh menantu almarhum, Ahadin bin Arinen itu dilaksanakan dengan kehadiran jamaah yang ramai. Dianggarkan lebih dari 500 jamaah melaksanakan solat tersebut.

Solat tersebut dihadiri ramai ahli keluarga dan sahabat handai almarhum. Ada yang datang dari Semenanjung dan dari daerah jauh seperti Sandakan, Keningau, Kota Belud, Tambunan dan daerah-daerah lain. SS Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Haji Bungsu @ Aziz bin Hj Jaafar, Datuk Haji Uda bin Sulai, Mantan Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas, Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Binti Tahir, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, YAA Datuk Ahmad Din bin OKK Othman, Hakim Mahkamah Tinggi Sabah & Sarawak, YA Datuk Hajah Zaleha Pandin dan beberapa lagi orang kenamaan yang lain hadir bagi menunaikan solat tersebut.

Sahabat-sahabat almarhum yang juga merupakan tokoh-tokoh agamawan di Sabah seperti Ustaz Haji Muhammad Iyen Atim, Ustaz Haji Muchlish Ali Kassim, Ustaz Hadiq Ismail Malakalu adalah antara yang hadir bersama untuk menyempurnakan solat jenazah tersebut.

Turut hadir dan terlibat secara langsung dalam pengurusan pemandian dan pengkebumian adalah Tuan Haji Samin bin Ongki, CEO Pengurusan dan Kakitangan Kolej Yayasan Sabah, Tuan Haji Abdul Razak bin Haji Jamil, Presiden Persatuan Peguam Syarie Negeri Sabah. Ahli-ahli Alumni Sekolah Agama Limau-Limauan seperti Ustaz Rapihi bin Derim @ Wasihim dan lainnya turut hadir.

Sebaik selesai solat, jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg Contoh Petagas. Urusan pengkebumian selesai lebih kurang jam 2.30 petang.

Keluarga almarhum mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memudahkan pengurusan jenazah bermula penghantaran jenazah, pemandian, solat dan pengkebumian. Ucapan terima kasih seterusnya kepada Ketua Kampung Contoh, Petagas, Tuan Haji Ismail bin Haji Ayub dan Pengurus Perkuburan, Tuan Azman bin Moyang kerana banyak membantu mempermudahkan urusan pengkebumian tersebut. Hanya kepada Allah saja yang dapat membalas segala jasa baik kalian semua.

AYAH DIBAWA KE HOSPITAL

KOTA KINABALU – 1 Mei 2023 (Isnin) bersamaan 10 Syawwal 1443H. Keadaan ayah (Hj Adenan bin Hj Mohd Yusuf), 85 ketika ini tidak stabil. Tahap kesihatannya sejak 3 minggu lepas tidak baik dan semakin menurun. Kadang sedar dan kadang tidak sedar.

Berdasarkan tahap kesihatannya yang tidak baik dan kadar tekanan darah yang rendah (69/49), ayah telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dengan ambulan. Turut berada di hospital adalah anak-anaknya. Ketika ini (jam 1.10 petang), ayah masih ditahan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut. Semoga ayah dikurniakan kesembuhan.

NORLIELA MELAHIRKAN ANAK

KENINGAU – Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah atas segala nikmatnya. 30 Jun 2021 (Rabu) bersamaan 19 Zulkaedah 1442H menjadi tarikh bersejarah kepada pasangan Norliela binti Asoi @ Arinin dan Mohd Ikbal bin Zaini apabila mendapat anak pertama mereka. Norliela yang dimasukkan ke wad bersalin Hospital Daerah Keningau pada 29 Jun 2021 melahirkan seorang anak perempuan pada 7.04 pagi. Permata yang diberi nama Maryam binti Mohd Ikbal itu dilahirkan dalam keadaan sihat dengan berat 2.985 kg. Ketika tulisan ini dibuat (4 Julai 2021), Norliela dan Maryam masih lagi ditahan di hospital berkenaan bagi memastikan keadaan kesihatan mereka benar-benar stabil. Semoga pasangan ini bertambah bahagia dengan hadirnya permata pertama mereka. Tiada yang lebih diharapkan oleh ibu dan ayah melainkan mengharapkan agar anak ini menjadi anak yang solehah dan menjadi penghafaz al Quran suatu masa nanti.

NUUR JANNAH FARAHNAZ JADI JURURAWAT

KOTA KINABALU – Ke mana tumpah kuah kalau bukan ke nasi. Begitulah peribahasa Melayu bagi menjelaskan betapa kebiasaan, minat atau pekerjaan ibubapa biasanya akan menjadi ikutan atau warisan anak-anak. Tahniah kepada Nuur Jannah Farahnaz binti Abdurrashad yang mewarisi kerjaya ibu beliau, Norni Asoi @ Arinin sebagai Jururawat Terlatih di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sesuai dengan minat yang mendalam dalam dunia kejururawatan, Nuur Jannah akhirnya berjaya diterima dalam perkhidmatan awam apabila menerima tawaran dari KKM sebagai Jururawat Terlatih U29 awal tahun ini. Beliau melaporkan diri di Hospital Queen Elizebeth, Kota Kinabalu pada 25 Febuari 2021. Lebih mengujakan, selain ibunya bertugas sebagai Jururawat Kerajaan di Queen Elizebth Hospital Kota Kinabalu, kakak kandung beliau, Nuur Jehan Syehnaz merupakan seorang Doktor Perubatan yang kini bertugas di Hospital Besar Daerah Keningau.

Nuur Jannah merupakan anak kedua dari 8 adik beradik memperolehi Diploma Kejururawatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2018. Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja sebagai Jururawat di Permai Polyclinic Penampang selama 3 bulan pada tahun 2019. Pada tahun yang sama, Nuur Jannah berpindah kerja di KPJ Puteri Specialist Hospital, Johor dan bertugas di sana sehingga 4 Febuari 2021. Beliau akhirnya menamatkan khidmatnya di Hospital tersebut setelah mendapat tawaran berkidmat di bawah KKM pada awal tahun ini.

Tahniah kepada Nuur Jannah. Semoga diberi kekuatan untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.