Category Archives: MADINAH

HAJI ARININ IBON MENINGGAL DUNIA

KENINGAU – Haji Arinin @ Asoi bin Ibon, 74, disahkan meninggal dunia pada 3 Jun 2022 (Jumaat) bersamaan 3 Zulkaedah 1444H yang lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2.30 petang di Hospital Daerah Keningau. Berita kematian almarhum disampaikan oleh anaknya, Hartono Asoi kepada ahli keluarga.

Jenazah almarhum dimandikan oleh anak-anaknya di Masjid Al Munawwarah, Kg Panagatan Ulu Keningau sekitar jam 8.00 pagi pada esoknya. Solat jenazah diimamkan oleh anaknya, Ahadin bin Arinen di masjid yang sama. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Kg Panagatan Ulu. Urusan pengkebumian selesai sekitar jam 12.00 tengahari.

Tahap kesihatan beliau sejak 5 tahun kebelakangan telah menurun ekoran kesakitan di bahagian punggung yang dialami. Namun kesakitan tersebut tidak menghalangnya untuk datang menunaikan solat di masjid.

Semasa hayatnya, beliau melazimkan diri untuk solat berjamaah di Masjid. Beliau adalah antara jamaah terawal tiba di masjid. Suara azan ala azan di Tanah Suci untuk solat subuh yang beliau kumandangkan akan dirindui. Membersihkan masjid dan sekitarnya termasuklah menyediakan sajadah pada hari jumaat sudah menjadi rutinnya.

TUA AHMAD PERGI BUAT SELAMANYA

MAKKAH – Perginya tak akan kembali lagi. Haji Ahmad bin Awang Damit kembali ke rahmatullah selepas menyelesaikan urusan haji di Makkah al Mukarramah. Almarhum, 85 tahun yang lebih dikenali sebagai Tua Ahmad di kalangan keluarga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Makkah al Mukarramah pada jam 5.45 petang waktu tempatan (Makkah), 23hb September 2016 (21 Zulhijjah 1437H) bertepatan pada hari Jumaat.

Berita mengenai kematian almarhum diterima oleh keluarga di Papar pada pagi 24hb September 2016. Tua Ahmad yang mengerjakan haji pada tahun ini bersama isterinya bertolak dari Kota Kinabalu ke tanah Suci pada 17hb Ogos 2016. Mereka dijadualkan kembali ke tanah air pada 2hb Oktober 2016. Namun, Allah mengetahui dan menentukan apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Almarhum meninggal dunia sebelum kembali ke tanah air. Beliau dikebumikan selepas solat subuh di tanah perkuburan di Makkah pada keesokan harinya, 24hb September 2016. Almarhum yang telah lanjut usia dikhabarkan terjatuh di kamar mandi di hotel penginapannya dan berlaku pendarahan usus.

Sesungguhnya, ajal setiap insan telah ditentukan Allah. Tiada siapa tahu bila dan di mana ia akan menghembuskan nafas terakhir. Tidak juga siapa dapat tahu di mana ia akan dikuburkan. Segalanya hanya Allah s.w.t sahaja yang maha mengetahui. Demikianlah takdir yang berlaku kepada Tua Ahmad. Kehadiran di Tanah Suci atas jemputan Allah bagi menyempurnakan rukun Islam iaitu Haji rupanya menjadi sejarah dan catatan terakhir kehidupan almarhum.

Dalam kesedihan yang cukup mendakap di sanubari, kelegaan bersama redha turut dirasai seluruh ahli keluarga kerana kepergian buat selamanya almarhum adalah di saat dan hari yang cukup bernilai. Almarhum juga meninggal dunia di sebaik-baik tempat dan jenazah disolatkan jutaan manusia dari seluruh dunia. Almarhum juga disemadikan di bumi yang amat bertuah itu.

Semoga segala amal ibadah almarhum diterima Allah. Mendapat Haji Mabrur. Diampunkan segala salah dan silap sepanjang kehidupannya. Di samping itu, semoga Allah tempatkan rohnya di kalangan para anbiya, syuhada dan solihin. Amin yaa Rabbal alamin. Salam takziah untuk seluruh ahli keluarga almarhum.

img-20160816-wa0028

img-20160816-wa0031

img-20160816-wa0031

img-20160816-wa0032

Sebagai kenang-kenangan, di bawah ini adalah gambar almarhum Tua Ahmad (berdiri di bahagian tengah) bersama keluarga almarhum Hj Mohd Yussuf  bin Hj Yassin sekitar tahun 1950-an. Kanak-kanak yang bertuah dalam gambar ini adalah Dzulkifli bin Hj Ahmad, lebih dikenali dengan panggilan Abang Long. Di sisinya pula (kanan sekali) adalah isteri terdahulu Tua Ahmad iaitu almarhumah Sumilah binti Hj Mohd Yusuf.

IMG-20160623-WA0021