Category Archives: WISE UNIVERSITY OF JORDAN

MUHD IRFAN & FATIN NADIAH BERNIKAH

MELAKA – 19 April 2024 (10 Syawwal 1445H – Jumaat) – Dengan sekali lafaz, pasangan sedondon Muhd Irfan bin Shahrul Anuar, 29, dan pasangannya Fatin Nadiah binti Adenan, 25, sah menjadi suami isteri. Majlis akad nikah telah dilangsungkan di Masjid Al-Wahhab, Permatang Duyong, Melaka sekitar jam 9.36 pagi tadi. Selain keluarga pengantin perempuan, keluarga pengantin lelaki yang datang dari Sabah turut hadir menyaksikan momen indah dan bersejarah itu. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagian di dunia dan di akhirat.

NURUL AYUNI KE MESIR

AMMAN JORDAN – Nurul Ayuni binti Ahadin dan rakannya, Siti Hajar binti Rusli berlepas dari Queen Alia International Airport, Amman Jordan ke Mesir pada 6 September 2021. Selama 7 hari berada di bumi Mesir, pelbagai tempat menarik dan bersejarah telah dikunjungi. Sahabat-sahabat yang sedang belajar di bumi bersejarah itu banyak membantu memudahkan perjalanan, penginapan dan pelbagai urusan sepanjang berada di sana. Selain melihat sendiri keindahan dan kehebatan binaan bangunan piramid berusia ribuan tahun, muzium dan pelbagai lagi lokasi pelancungan, mereka juga berkesempatan melawat Pusat Pengajian al Quran Wal Qiraat di Shoubra bagi kedua-dua cabang lelaki dan perempuan. Bertemu dengan rakan-rakan sejak dari sekolah rendah dan menengah serta di Darul Quran, Kuala Kubu Selangor dahulu di bumi bertuah itu sangat mengujakan. Pelbagai pengalaman dan ilmu baru dapat dikongsi bersama. Antara tempat menarik yang tidak akan dilupakan adalah ketika memasuki deretan kedai menjual buku agama dan ilmiah yang banyak dengan tawaran harga yang jauh lebih rendah berbanding tempat-tempat lain.

AYUNI KE JORDAN

IMG_20190906_125047.jpg

PUTRAJAYA – Impian untuk melanjutkan pelajaran di luar negara khususnya di bumi anbiya akhirnya tercapai. Nurul Ayuni binti Ahadin berlepas dari KLIA 1 sekitar jam 2.00 pagi pada 06 September 2019 (jumaat) ke Amman Jordan bersama-sama 35 lagi pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kesemua pelajar telah diraikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Mazlee Malik dan pegawai-pegawai kanan Kementerian berkenaan di kediaman rasminya di Putrajaya pada petang khamis, 05 September 2019. Turut hadir adalah ibubapa kepada pelajar-pelajar.

Dr Mazlee Malik yang juga lepasan graduan dari Jordan telah memberikan amanat penting dan motivasi kepada para pelajar agar mengambil peluang menimba ilmu di negara berkenaan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh. Beberapa tips sebagai pembakar semangat dan inspirasi kepada para pelajar turut dikongsikan oleh menteri berkenaan.

Nurul Ayuni dan 9 lagi pelajar lain lepasan Diploma Tahfiz wal Qiraat telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran dalam  bidang Tahfiz al Quran wal Qiraat di peringkat sarjana muda di World Islamic Science and Education (WISE) University, Amman Jordan.

10 pelajar berkenaan mendapat tajaan penuh pengajian sepanjang 4 tahun dan akan menyambung semula pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) di Bangi bagi mendapatkan Diploma Pendidikan sebelum ditempatkan sebagai tenaga pengajar dalam bidang Tahfiz al Quran di sekolah-sekolah terpilih di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

26 pelajar lain yang turut mendapat tajaan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di samping mencapai keputusan terbaik dalam bahasa Arab. Mereka ditempatkan di Yarmouk University, Jordan dalam Pengajian Bahasa Arab.

Penghantaran pelajar-pelajar terpilih Jordan ini merupakan usaha Kementerian Pendidikan untuk melahirkan lebih ramai tenaga pendidik yang berkelayakan dan berkemahiran dalam pendidikan Islam di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi memenuhi aspirasi negara bagi menaikkan kualiti pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

IMG_20190905_215625.jpg

IMG_20190905_221401.jpg