Arkib Blog

KISAH HIDUP HJ MOHD YUSSUF HJ YASSIN

Mengetahui asal usul orang tua kita adalah satu keperluan. Sejarah hidup dilatari zaman kanak-kanak, zaman remaja, dewasa dan tua tentunya dizahirkan untuk melengkapi sejarah hidup seseorang.  Ia dapat diketahui melalui penceritaan orang-orang yang terdekat dengan kita seperti ibu bapa, datuk, nenek, pakcik, makcik dan rakan-rakan terdekat orang tua kita. Lebih baik ditulis dan dibukukan agar tidak hilang dalam ingatan. Generasi demi generasi akan berpeluang mengetahui latar belakang diri dan keluarganya. Pengetahuan ini penting untuk menyegarkan ingatan dan kasih sayang kita kepada orang tua dan datuk moyang kita. Tanpa mereka siapalah kita pada hari ini.

Melalui tulisan sejarah hidup, dapatlah kita mengetahui dan menghargai segala pahit manis dan pengorbanan mereka ketika hayat mereka. Sekurang-kurangnya, dapatlah timbul rasa syukur kepada Allah atas nikmat yang kita kecapi sekarang.

Rentetan itu, satu tulisan mengenai kisah hidup Haji Mohd Yussuf bin Haji Yassin telah diusahakan oleh Ahadin bin Arinen pada tahun 2008 sehingga 2009. Tulisan dibuat berdasarkan kepada penceritaan langsung anak kandung kepada Almarhum Hj Mohd Yussuf iaitu Haji Adenan bin Hj Mohd Yussuf kepada penulis pada tahun 2008. Merasakan ianya penting, penulis terus membuat catatan tersebut ke dalam komputer ribanya. Penulisan dilakukan dari masa ke semasa mengikut kelapangan penulis dan Hj Adenan Mohd Yussuf yang juga merupakan ayah mertua penulis.

Masih banyak kekurangan catatan ini. Penambah baikan masih terbuka agar segala fakta dan susunan penulisannya dapat dimantapkan. Semoga usaha ini membawa manfaat kepada sesiapa jua yang membacanya, khususnya kepada keluarga dan keturunan Haji Mohd Yussuf bin Hj Yassin. Semoga ianya menjadi sebahagian dari ilmu yang bermanfaat dan dikira sebagai amal soleh yang hasilnya dapat dipetik di akhirat kelak.

Tulisan dibuat dalam bentuk PDF. Dengan penuh sukacita, anda dipersilakan membacanya dengan hanya KLIK KISAH HIDUP MOHD YUSUF MOHD YASSIN 

IMG-20160623-WA0021

(Gambar kenangan untuk diabadikan buat cucu cicit yang diambil 7.1.1961. Berdiri dari kiri Adenan Mohd Yussuf, Abdul Salam Mohd Yussuf (Tua Salam), Tua Ahmad, Safar Mohd Yussuf dan Elham Mohd Yussuf (Pak Usu).)

(Duduk dari kiri Ngetemih Mohd Yussuf, Hj Mohd Yussuf Hj Yassin, Zulkifly Ahmad (Abang Long) dan Sumilah Mohd Yussuf)

PERJALANAN KEROHANIAN DI TANAH SUCI

Tanggal 28 Mei 2016 bersamaan hari sabtu, kesemua 7 orang bersaudara terdiri dari Hasipin Arinin, Rapini binti Arinin, Jamili bin Arinin, Norni binti Arinin, Hastonoh bin Arinin, Hartono bin Arinin dan Norleila binti Arinin berlepas ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Perjalanan kerohanian tersebut adalah dalam rangka mengerjakan umrah dan ziarah. Turut serta adalah 8 lagi jamaah lain dari Kampung Penagatan Ulu, Keningau dan kampung lain sekitar Keningau. Ia merupakan pekej umrah dan ziarah melalui Syarikat Tabung Haji Travel & Tours, sebuah anak syarikat Tabung Haji. Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Negara Brunei Darussalam adalah pada jam 8.50 pagi. Penerbangan dari Brunei Darussalam menggunakan Syarikat Penerbangan Royal Brunei Airlines ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada sekitar jam 9.50 pagi.

Rombongan terus menuju ke Madinah al Munawwarah dengan pengangkutan bas bagi menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w dan juga tempat-tempat bersejarah di sana sebaik tiba di Lapangan terbang Jeddah. Pada 1 Jun 2016, selepas 3 hari berada di Madinah, rombongan bertolak ke Makkah al Mukarramah untuk menunaikan ibadah umrah. Ibadah umrah bermula sebaik rombongan berniat ihram untuk umrah di Bir Ali, salah sebuah tempat bagi miqat untuk jamaah yang hendak menunaikan umrah dari Madinah. Sepanjang berada di Makkah, rombongan berpeluang melaksanakan ibadah yang tentunya dilakukan bagi meraih sebanyak mungkin pahala berlipat kali ganda dari Allah s.w.t. Tempat-tempat bersejarah dan penting seperti Padang Arafah, Mudzalifah, Mina beberapa yang lain turut dikunjungi bagi melihat sendiri tempat-tempat yang wajib ditempuh semasa perlaksanaan ibadah haji setiap tahun.

Berdoa di tempat-tempat paling mustajab seperti Multazam, Makam Ibrahim, Hijir Ismail dan pelbagai lagi lokasi tentunya menjadi keutamaan sepanjang berada di sana. Tempat-tempat ini adalah antara tempat paling mustajab doa bagi para jamaah untuk berdoa. Perkembangan pesat binaan struktur bangunan Masjidil haram yang canggih dan sofikistikated bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jutaan jamaah dari seluruh dunia setiap tahun tentunya memukau mata yang memandangnya. Dengan kehadiran jutaan manusia hampir setiap hari yang terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya turut mengundang rasa takjub betapa besar dan agungnya Allah s.w.t yang menciptakan alam ini dan segala isinya. Hati-hati manusia yang begitu ramai dapat disatukan dengan satu kalimah tauhid iaitu tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Melakukan solat jenazah bersama lautan manusia setiap waktu sepanjang berada di Makkah sesungguhnya mendatangkan keinsafan betapa kematian itu sangat dekat dengan setiap makhluk bernama manusia.

Rombongan amat bertuah kerana sempat berada di Makkah selama 2 hari untuk sama-sama beribadah di bulan Ramadhan. Menunaikan solat sunat tarawih secara berjamaah bersama jutaan manusia pada hari pertama dan kedua Ramadhan tidak akan dilupakan. Selama ini, suara imam di Masjidil Haram hanya dapat didengar dan dilihat melalui rakaman dalam keset, CD dan juga youtube. Kini, semuanya benar-benar berada di hadapan mata. Bukan setakat mendegar suara secara langsung, malah dapat pula ikut sebagai makmum kepada imam berkenaan. Pengalaman berbuka puasa di persekitaran Masjidil Haram bersama rombongan dan juga para jamaah lain dari pelbagai negara tidak dapat dilupakan. Ia akan tetap menjadi ingatan sepanjang hayat.

Walau hati telah terpikat dan terpaut erat dengan kedua-dua bumi bertuah, Makkah dan Madinah, namun terpaksa juga ditinggalkan. Tempoh perjalanan kerohanian di Tanah Suci bertuah ini terasa cukup singat dan pendek. Dengan hati yang berat dan syahdu, rombongan akhirnya akur untuk kembali semula ke tanah air untuk bertemu semula dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Perjalanan dengan Penerbangan Brunei Airlines berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa Jeddah pada 8 Jun 2016 ke Dubai dan singgah seketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam. Rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Jun 2016 pada jam 10.10 malam.

Sesungguhnya kenangan terindah di Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak akan luput dalam ingatan sepanjang hayat. Dalam hati, telah tersemat erat dan padu azam dan cita-cita untuk kembai lagi ke Tanah Suci pada masa hadapan. Inilah perasaan dan impian yang hampir pasti tersemat dalam hati setiap manusia yang kembali dari Tanah Suci. Dalam hati, tetap wujud rasa rindu untuk kembali semula ke sana untuk kesekian kalinya bersama dengan insan-insan tercinta. Tidak lain dan tidak bukan, tentunya ibubapa, isteri dan anak-anak. Semoga segala ibadah sepanjang berada di tanah Suci diterima Allah. Paling diharapkan adalah penerimaan dan kemakbulan segala doa yang tidak henti-henti dilafazkan melalui lidah dan rintihan hati nurani paling ikhlas dan khusyuk kepada Allah sepanjang berada di sana. Yaa Allah, kurniakan kami nikmat untuk datang lagi ke bumi tercinta dan paling diberkati, Makkah dan Madinah pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin.

IMG-20160529-WA0025

IMG-20160604-WA0032

IMG-20160531-WA0032

IMG-20160604-WA0037

IMG-20160604-WA0072

IMG-20160604-WA0040

IMG-20160614-WA0049

IMG-20160614-WA0040

IMG-20160614-WA0029

IMG-20160614-WA0011

IMG-20160614-WA0003

IMG-20160612-WA0005

IMG-20160612-WA0007

20160608_230546

20160608_230420

IMG-20160609-WA0015

 

MELANGKAH KE DARUL QURAN JAKIM

20160503_083312

KUALA KUBU BAHRU | Alhamdulillah. Segala pujian untuk Allah, Pemilik seluruh alam. Seramai 250 pelajar baru mendaftar dan menjadi penghuni secara rasmi Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Pendaftaran bagi Diploma Tahfiz al Quran pada 3hb Mei 2016 bagi sesi 2016/2019 untuk tempoh 3 tahun itu bermula pada 8.30am. Seramai 250 pelajar diterima masuk dalam program ini. Mereka datang dari dalam dan luar negara. Antara pelajar luar negara adalah datang dari Thailand dan Brunei.

20160503_083510

IMG-20160503-WA0018

20160503_130447

Selepas sesi pendaftaran selesai, para pelajar bersama ibubapa dan keluarga dihimpunkan dalam Dewan Muktamar Darul Quran Jakim untuk majlis sambutan siswa-siswi baru. Majlis disempurnakan oleh Dato’Haji Razali bin Shaharuddin, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Insan, mewakili Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Permohonan dari dalam dan luar negara untuk memasuki Darul Quran ini amat menggalakkan. Antara permohonan dari luar negara adalah datang dari USA, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Brunei, Thailand dan lain-lain lagi.

20160503_142600

20160503_141754

Bagi pengambilan untuk sesi 2016, sebanyak 3,469 permohonan diterima. Bagaimanapun, daripada 1,300 pemohon yang dipanggil untuk temuduga, hanya 250 pelajar sahaja yang diterima masuk. 150 adalah lelaki dan 100 adalah perempuan.

20160503_124918

20160503_112816

Institusi tahfiz ini sudah melahirkan seramai 5942 orang hafiz al Quran sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1966. Tahun ini, genaplah 50 tahun umur penubuhan Darul Quran ini. Apa yang membanggakan adalah, Darul quran telah melahirkan graduan hafiz al Quran yang akhirnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, guaman, pendidikan, kedoktoran dan lain-lain lagi. Menurut Dato’Haji Razali bin Shaharuddin, lebih kurang 40 doktor perubatan di negara ini adalah bekas pelajar Tahfiz dari Darul Quran ini.

Selain menawarkan program Diploma Tahfiz al Quran, Darul Quran ini juga menawarkan program Sijil Tahfiz al Quran bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berumur kurang 21 tahun.

Uniknya, kesemua pelajar di Darul Quran diberi kemudahan tinggal di asrama dalam kampus tersebut. Bagi pelajar Program Diploma Tahfiz al Quran, biasiswa sebanyak RM450 diberikan setiap bulan. Kedudukan lokasi Darul Quran JAKIM ini amat strategik. Jauh dari kesibukan kota metripolitan, kewujudan tasik yang luas berhadapan dengan Masjid Darul Quran di samping dikelilingi tumbuhan yang  menghijau dari bukit bukau sesungguhnya amat sesuai untuk proses pembelajaran khususnya menghafal al Quran. Suasana yang damai dan harmoni dengan suhu sejuk dan udara nyaman benar-benar mempersonakan sesiapa sahaja yang datang ke sini. Tidak hairanlah mengapa Darul Quran ini saban hari menerima kunjungan pelancung yang datang dari pelbagai negara semata-mata ingin melihat dan seterusnya mengambil gambar pemandangan yang indah di sini.

IMG-20160503-WA0034

Sesi penyerahan pelajar kepada Darul Quran oleh ibubapa adalah antara suasana menarik dan mengujakan. Majlis tersebut berakhir dengan sesi makan tengahari dan solat zohor.