Arkib Blog

PERJALANAN KEROHANIAN DI TANAH SUCI

Tanggal 28 Mei 2016 bersamaan hari sabtu, kesemua 7 orang bersaudara terdiri dari Hasipin Arinin, Rapini binti Arinin, Jamili bin Arinin, Norni binti Arinin, Hastonoh bin Arinin, Hartono bin Arinin dan Norleila binti Arinin berlepas ke Tanah Suci Makkah dan Madinah. Perjalanan kerohanian tersebut adalah dalam rangka mengerjakan umrah dan ziarah. Turut serta adalah 8 lagi jamaah lain dari Kampung Penagatan Ulu, Keningau dan kampung lain sekitar Keningau. Ia merupakan pekej umrah dan ziarah melalui Syarikat Tabung Haji Travel & Tours, sebuah anak syarikat Tabung Haji. Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Negara Brunei Darussalam adalah pada jam 8.50 pagi. Penerbangan dari Brunei Darussalam menggunakan Syarikat Penerbangan Royal Brunei Airlines ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada sekitar jam 9.50 pagi.

Rombongan terus menuju ke Madinah al Munawwarah dengan pengangkutan bas bagi menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w dan juga tempat-tempat bersejarah di sana sebaik tiba di Lapangan terbang Jeddah. Pada 1 Jun 2016, selepas 3 hari berada di Madinah, rombongan bertolak ke Makkah al Mukarramah untuk menunaikan ibadah umrah. Ibadah umrah bermula sebaik rombongan berniat ihram untuk umrah di Bir Ali, salah sebuah tempat bagi miqat untuk jamaah yang hendak menunaikan umrah dari Madinah. Sepanjang berada di Makkah, rombongan berpeluang melaksanakan ibadah yang tentunya dilakukan bagi meraih sebanyak mungkin pahala berlipat kali ganda dari Allah s.w.t. Tempat-tempat bersejarah dan penting seperti Padang Arafah, Mudzalifah, Mina beberapa yang lain turut dikunjungi bagi melihat sendiri tempat-tempat yang wajib ditempuh semasa perlaksanaan ibadah haji setiap tahun.

Berdoa di tempat-tempat paling mustajab seperti Multazam, Makam Ibrahim, Hijir Ismail dan pelbagai lagi lokasi tentunya menjadi keutamaan sepanjang berada di sana. Tempat-tempat ini adalah antara tempat paling mustajab doa bagi para jamaah untuk berdoa. Perkembangan pesat binaan struktur bangunan Masjidil haram yang canggih dan sofikistikated bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jutaan jamaah dari seluruh dunia setiap tahun tentunya memukau mata yang memandangnya. Dengan kehadiran jutaan manusia hampir setiap hari yang terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya turut mengundang rasa takjub betapa besar dan agungnya Allah s.w.t yang menciptakan alam ini dan segala isinya. Hati-hati manusia yang begitu ramai dapat disatukan dengan satu kalimah tauhid iaitu tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Melakukan solat jenazah bersama lautan manusia setiap waktu sepanjang berada di Makkah sesungguhnya mendatangkan keinsafan betapa kematian itu sangat dekat dengan setiap makhluk bernama manusia.

Rombongan amat bertuah kerana sempat berada di Makkah selama 2 hari untuk sama-sama beribadah di bulan Ramadhan. Menunaikan solat sunat tarawih secara berjamaah bersama jutaan manusia pada hari pertama dan kedua Ramadhan tidak akan dilupakan. Selama ini, suara imam di Masjidil Haram hanya dapat didengar dan dilihat melalui rakaman dalam keset, CD dan juga youtube. Kini, semuanya benar-benar berada di hadapan mata. Bukan setakat mendegar suara secara langsung, malah dapat pula ikut sebagai makmum kepada imam berkenaan. Pengalaman berbuka puasa di persekitaran Masjidil Haram bersama rombongan dan juga para jamaah lain dari pelbagai negara tidak dapat dilupakan. Ia akan tetap menjadi ingatan sepanjang hayat.

Walau hati telah terpikat dan terpaut erat dengan kedua-dua bumi bertuah, Makkah dan Madinah, namun terpaksa juga ditinggalkan. Tempoh perjalanan kerohanian di Tanah Suci bertuah ini terasa cukup singat dan pendek. Dengan hati yang berat dan syahdu, rombongan akhirnya akur untuk kembali semula ke tanah air untuk bertemu semula dengan keluarga, sanak saudara dan sahabat handai. Perjalanan dengan Penerbangan Brunei Airlines berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa Jeddah pada 8 Jun 2016 ke Dubai dan singgah seketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei Darussalam. Rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Jun 2016 pada jam 10.10 malam.

Sesungguhnya kenangan terindah di Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak akan luput dalam ingatan sepanjang hayat. Dalam hati, telah tersemat erat dan padu azam dan cita-cita untuk kembai lagi ke Tanah Suci pada masa hadapan. Inilah perasaan dan impian yang hampir pasti tersemat dalam hati setiap manusia yang kembali dari Tanah Suci. Dalam hati, tetap wujud rasa rindu untuk kembali semula ke sana untuk kesekian kalinya bersama dengan insan-insan tercinta. Tidak lain dan tidak bukan, tentunya ibubapa, isteri dan anak-anak. Semoga segala ibadah sepanjang berada di tanah Suci diterima Allah. Paling diharapkan adalah penerimaan dan kemakbulan segala doa yang tidak henti-henti dilafazkan melalui lidah dan rintihan hati nurani paling ikhlas dan khusyuk kepada Allah sepanjang berada di sana. Yaa Allah, kurniakan kami nikmat untuk datang lagi ke bumi tercinta dan paling diberkati, Makkah dan Madinah pada masa akan datang. Amin yaa Rabbal alamin.

IMG-20160529-WA0025

IMG-20160604-WA0032

IMG-20160531-WA0032

IMG-20160604-WA0037

IMG-20160604-WA0072

IMG-20160604-WA0040

IMG-20160614-WA0049

IMG-20160614-WA0040

IMG-20160614-WA0029

IMG-20160614-WA0011

IMG-20160614-WA0003

IMG-20160612-WA0005

IMG-20160612-WA0007

20160608_230546

20160608_230420

IMG-20160609-WA0015