Monthly Archives: Julai 2018

IRFAN TERIMA SIJIL TEKNOLOGI HOSPITALITI PENYEDIAAN MAKANAN

PUTRAJAYA – Tiada kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan. Cita-cita untuk mewarisi kemahiran memasak yang dimiliki arwah nenek akhirnya tercapai. Pada 20 April 2015 yang lalu, Muhd Irfan bin Shahrul Anuar atau lebih sinonim dengan panggilan Angah dari kalangan keluarga menerima Sijil Teknologi Penyediaan Makanan dalam Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Dewan Putrajaya International Convention Centre (PICC). Tempoh pengajian di IKBN Cawangan Kemasik Trengganu itu memakan masa hampir 3 tahun.

Kegembiraan menerima sijil berkenaan turut dikongsi oleh ibunya, Siti Khadijah binti Adenan yang hadir dalam majlis gilang gemilang itu.

Selain menerima sijil, Angah telah mengambil peluang menimba latihan dalam bidang penyediaan makanan di Ayer Keroh Melaka dan Sutera Harbour Hotel, salah sebuah hotel terkemuka di sekitar Kota Kinabalu, Sabah. Beliau juga pernah bekerja dalam bidang yang sama di Restoran keluarga iaitu Azam Fast Food di Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Azam dan cita-cita untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut tidak terhenti setakat itu. Bersama harapan tinggi, Angah mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Lanjutan Teknologi Hospitaliti Penyediaan Makanan di IKBN Melaka. Beliau mendaftar pengajian di institut berkenaan pada 16 Julai 2018. Tempoh pengajian adalah 2 tahun 9 bulan.

Kedua ibubapa beliau sentiasa menyokong usaha anak mereka untuk melanjutkan pelajaran dan menambah kemahiran dalam bidang penyediaan makanan selagi ada kemahuan dan semangat dalam diri anak-anak untuk melakukan yang terbaik dalam hidup anak-anak.

IMG-20180722-WA0002

IMG-20180722-WA0003

KHADIJAH ADENAN MENDAPAT MASTER PENDIDIKAN

Tahniah yang terindah untuk Siti Khadijah @ Aswati binti Adenan atas kejayaan mendapat Master Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama. Impian tersebut menjadi kenyataan apabila beliau tersenarai sebagai penerima sijil berprestij itu dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia di Serdang Selangor bermula 4 hingga 8 November 2017 yang lalu.

Tugasnya sebagai Pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Guru, Gaya di Kota Kinabalu, Sabah tidak menjadi penghalang baginya untuk meneruskan pengajian sambilan secara Kursus dan Disertasi yang bermula sejak bulan Febuari 2016. Usaha bersungguh-sungguh disulami semangat dan kesabaran yang tinggi merupakan antara ramuan kejayaannya. Selain itu, beliau mengakui bahawa sokongan kuat dan sikap berlapang dada suaminya, Shahrul Anuar Itam menjadi kekuatan beliau untuk belajar sehingga sampai ke penghujungnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan akan datang, beliau berharap bahawa impiannya untuk meneruskan pengajian ke peringkat Ph.D dalam bidang yang sama akan tercapai sesuai dengan tugasnya sebagai seorang pensyarah. Pastinya, kejayaan ini menjadi pendorong khususnya kepada anak-anak beliau dan keluarga untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

IMG-20180721-WA0029

IMG-20180721-WA0030

 

AHMAD ADIB KE TURKEY

FB_IMG_1531756576082

KAJANG – Perjuangan memburu dan memperdalamkan ilmu agama  tidak ada titik noktahnya. Ahmad Adib bin Ahadin bersama-sama dengan 30 pelajar lain dari seluruh negara bertolak ke Instanbul Turki melalui Tukey Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar jam 11.30 malam pada 3 Julai 2018.

Ahmad Adib akan berada di bumi Turkey tidak kurang dari 3 tahun untuk mendalami pengajian dalam bidang al Quran. Kesemua pelajar yang diterbangkan ke Turkey itu adalah lepasan dari Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) yang berpusat di Taman Desa Rose, Kajang, Selangor. Mereka adalah pelajar yang terpilih bagi menyambung pelajaran dalam bidang al Quran dari seluruh cawangan MTS di seluruh negara selepas berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al Quran.

Terdahulu daripada itu, pelajar-pelajar berkenaan telah diraikan dalam satu majlis Konvokesyen yang diadakan di Auditorium Seri Cempaka, Presint 3, Putrajaya pada 1 Julai 2018. Konvokesyen tersebut telah dirasmikan oleh Presiden perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Haji Hasim bin Haji Ismail.

Pelajar-pelajar yang terpilih itu ditempatkan di beberapa cawangan utama Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah di Turkey. Ahmad Adib bersama 4 lagi pelajar lelaki yang lain ditempatkan di Kutahya, Turkey. Pembiayaan pengajian adalah berasaskan kepada sistem wakaf yang telah lama wujud dan diamalkan di Turkey.

Para ibubapa dan keluarga pelajar turut hadir di KLIA bagi meraikan keberangangkatan pelajar-pelajar berkenaan. Semoga impian dan cita-cita untuk memperdalamkan ilmu agama di negara orang akan tercapai dan dipermudahkan Allah.

IMG_20180703_204905.jpg

IMG_20180703_214232.jpg

NENEK SOUDA MENINGGAL DUNIA

IMG_20180910_102936

SANDAKAN – Janji Allah itu benar. Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Demikianlah takdir Allah yang berlaku kepada Hajah Souda binti Ahmad apabila kembali ke pangkuan Sang Pencipta pada 13 Julai 2018 (Jumaat) bersamaan 30 Syawwal 1439H. Beliau menghembuskan nafas terakhir lebih kurang jam 7.00 pagi di rumah kediaman di Taman Melanta Pasir Putih, Jalan Karamunting, Sandakan.

Beliau yang dilahirkan pada 5 Jun 1936 di Sandakan meninggal dunia pada usia 82 tahun akibat sakit tua. Terdahulu, suaminya Haji Said bin Mathali meninggal dunia pada 24 September 2015 dan dikuburkan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam, Kg Tanjung Aru, Pulau Tanjung Aru, Sandakan.

Nenek Souda meninggalkan seramai 3 orang anak terdiri dari Awang bin Amat dan Japar bin Amat daripada perkahwinan pertama dengan arwah Hj Amat. Manakala dari perkahwinan keduanya, beliau meninggalkan seorang anak perempuan bernama Apsah binti Hj Said. Beliau bersama suaminya menunaikan ibadah haji pada tahun 2000.

Jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid Taman Melanta. Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam Nunuyan, Batu 1 1/2 Jalan Labuk Sandakan pada jam 1.30 petang.

Bagi kita yang masih hidup, segala yang terjadi dalam kehidupan wajar diambil iktibar dan ingatan betapa tiada yang akan kekal di dunia ini. Semua akan mati. Ingatan mati akan menambahkan semangat untuk menambah amalan kebaikan buat bekalan di akhirat. Sama-sama kita doakan agar Allah mengampunkan segala dosa mereka, diterima segala amalan kebaikan dan ditempatkan pada sebaik-baik kedudukan di sisi Allah.

FB_IMG_1531512801119

IMG_20180714_113651

cof

cof