Monthly Archives: September 2018

SELAMAT BERSARA CIKGU DZULKIFLI HAJI AHMAD (ABANG LONG)

IMG-20180728-WA0017

Tarikh 27 Julai 2018 bersamaan hari jumaat merupakan detik bersejarah penuh syahdu bagi Dzulkifli bin Ahmad. Beliau lebih dikenali di kalangan keluarganya sebagai Abang Long. Tarikh ini amat bermakna dalam hidup Abang Long kerana beliau secara rasminya menamatkan perkhidmatan beliau dalam sector perkhidmatan awam sebagai guru di Sekolah Menangah Kebangsaan Tansau, Putatan Sabah. Sebagai guru yang dihormati dan disayangi oleh para guru dan murid-murid, persaraan beliau diraikan dalam sebuah majlis khas oleh sekolah berkenaan. Sejak sekolah ini mula beroperasi pada 17 Januari 2000, inilah kali pertama sekolah ini meraikan persaraan gurunya.

Abang Long dilahirkan di Lahad Datu pada 27 Julai 1958. Beliau merupakan anak pertama dari empat adik beradik yang terdiri dari Dzulkifli Haji Ahmad, Norsidy bin Haji Ahmad, Zainun binti Haji Ahmad dan Zaitun binti Haji Ahmad. Hasil pernikahan dengan isterinya, Hajijah binti Haji Ra’ee yang berasal dari Sarawak, beliau dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohd Firdaus, Mohd Fahmi dan Nur Fardilla. Beliau memulakan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Karamunting dan Sekolah Rendah Kebangsaan Sembulan, Kota Kinabalu. Seterusnya, di peringkat menengah pula, beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Majakir Papar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Kota Kinabalu. Pada tahun 1977, Abang Long melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UTM) yang kini dikenali sebagai UiTM Shah Alam dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Halus. Seterusnya pada tahun 1997, beliau mengikuti pengajian di universiti yang sama dan mendapat Diploma Pendidikan Seni pada tahun 1998.

Dari segi pengalaman kerja, Abang Long memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran dan kesenian sebagai Pereka Set Televisyen RTM Sabah tujuh tahun dari tahun 1981 sehingga 1988. Pada tahun, 1988, beliau berhijrah ke Negara Brunei Darussalam dan berkhidmat sebagai Pereka Set Kanan Radio Televisyen Brunei (RTB). Kerjaya dalam bidang penyiaran akhirnya ditinggalkan apabila beliau kembali ke Bumi di Bawah Bayu. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam dalam bidang pendidikan apabila mula bertugas sebagai guru pendidikan seni di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunsanad Keningau pada 1999. Tidak lama kemudian, dalam tahun yang sama, beliau berpindah ke Sarawak dan bertugas sebagai guru pendidikan seni di Sekolah menengah Kebangsaan Sematan, Lundu Kuching sehingga tahun 2001. Selepas itu, beliau bertugas pula di sekolah baru selama 11 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah Padi, Kuching dari tahun 2001 sehingga 2012.

Pada tahun 2012, Abang Long nekad untuk pindah ke negeri kelahirannya, Sabah. Beliau mula bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tansau, Putatan pada tahun yang sama sehinggalah persaraannya pada 27 Julai 2018. Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak 2 kali iaitu tahun 2007 dan tahun 2016. Beliau berpengalaman sebagai Pemeriksa Kertas 3 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) JU PSV Kerajaan Negeri Sarawak, Pelukis Grafik Lembaga Peperiksaan dan juga terlibat dalam penyediaan “Bank Soalan” Kementerian Pendidikan Malaysia sejak tahun 2002 sehinggalah 2005.

Minat yang mendalam dalam seni lukisan dalam diri tidak sia-sia apabila hasil sentuhan tangannya mendapat pengiktirafan di Muzium Negeri Sabah. Hasil lukisannya merupakan salah satu dari beberapa lukisan yang diambil dan dipamerkan dalam Muzium berkenaan. Salah seorang anaknya, Nur Fardilla turut mewarisi minat dan kemahiran seni lukis yang dimiliki Abang Long.

Bagi Abang Long, majlis persaraan yang diadakan oleh sekolah ini tidak akan dapat dilupakan. Beliau merasa begitu terharu dan amat terhutang budi dengan segala kerjasama serta persahabatan dan setia kawan di kalangan guru-guru sekolah berkenaan. Beliau amat berterima kasih dan menghargai penganjuran majlis yang diberikan berkenaan oleh warga sekolah khususnya kepada Pengetua Cemerlang SMK Tansau, Puan Hajah Siti Salmiah Haji Samaie. Selamat Bersara Abang Long. Jasamu tetap dikenang. Gambar-gambar di bawah adalah sekitar majlis persaraan tersebut.

IMG-20180726-WA0026

IMG-20180728-WA0058

IMG-20180727-WA0045

IMG-20180727-WA0046

IMG-20180728-WA0014

IMG-20180728-WA0018

IMG-20180728-WA0036

IMG-20180728-WA0020

IMG-20180728-WA0019

IMG-20180728-WA0030

IMG-20180728-WA0037