Arkib Blog
TUA SALAM MENINGGAL DUNIA
AMPANG | Akhirnya ketentuan Allah tiba jua. Haji Abdul Salam bin Yusuf yang biasa dipanggil di kalangan keluarga sebagai Tua Salam menghembuskan nafas terakhir di kediaman anak sulungnya, Mohd Zain bin Abdul Salam di Ukays Perdana, Ampang sekitar jam 10.40am pada 28hb Febuari 2016.
Tua Salam dikurniakan umur yang agak panjang. Umurnya 88 tahun ketika meninggal dunia. Jasadnya disemadikan di tanah perkuburan orang Islam di Seksyen 21, Shah Alam pada hari yang sama dengan kematiannya.
Beliau meninggalkan seramai 4 orang anak. Kebanyakan anaknya menetap di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Lahad Datu, Sabah. Sebahagian besar masa beliau adalah di Lahad Datu Sabah, daerah kelahiran beliau.
Semasa zaman penjajahan Jepun, beliau yang ketika itu berumur dalam belasan tahun telah dihantar oleh pihak Jepun ke Kuching, Sarawak untuk mempelajari dan menguasai bahasa Jepun. Ketika mudanya, beliau juga aktif dalam acara sukan melontar lembing di peringkat Negeri Sabah. Antara sahabat rapatnya pada zaman mudanya adalah arwah Petail, ayah kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Petail.
Pada penghujung usianya, beliau banyak beribadah kepada Allah. Selain rajin menunaikan solat di Masjid dan membaca al Quran, beliau juga rajin membaca buku-buku agama dan selalu berbincang hal ehwal agama. Beliau juga melazimkan zikir kepada Allah di mana saja beliau berada. Antara pesanan terakhir beliau kepada anak-anaknya adalah wajibnya menjaga solat lima waktu. Beliau turut memesankan agar ingatan ini dipanjangkan kepada anak cucunya.
Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada keluarga serta kenalan beliau. Semoga Allah menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang mendapat kebahagian di hari akhirat kelak.